KERATAN AKHBAR : PKP DI 6 NEGERI MULAI JUMAAT

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis, selama 14 hari bermula Jumaat ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia hasil nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung trend peningkatan kes positif COVID-19 di negeri terbabit.
Katanya, ini bermakna seluruh negara berada dalam PKP kecuali Sarawak yang masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Di Kedah, KKM melaporkan berlaku peningkatan kes membabitkan beberapa kluster dalam komuniti ketika ini.
“Sehingga semalam, secara kumulatif sebanyak 4,411 kes positif direkodkan di negeri itu.
“KKM turut mengesahkan lima dari 12 daerah di Kedah merekodkan lebih 40 kes iaitu Kuala Muda, Kota Setar, Kulim, Baling dan Kubang Pasu,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Di Perak sehingga semalam, Ismail Sabri berkata, secara kumulatif sebanyak 4,481 kes positif direkodkan.
Beliau berkata, KKM mengesahkan lapan daripada 12 daerah membabitkan Kinta, Larut Matang Selama, Kerian, Hilir Perak, Manjung, Kuala Kangsar, Mualim dan Batang Padang di negeri itu merekodkan lebih 40 kes COVID-19.
Selain itu, katanya, kes bertaburan di daerah terbabit membabitkan beberapa kluster termasuk hasil saringan daripada kontak rapat.
“Bagi Negeri Sembilan hingga semalam, secara kumulatif sebanyak 10,115 kes positif direkodkan.
“KKM mengesahkan purata kes positif COVID-19 di Negeri Sembilan dalam tempoh 14 hari bermula 5 Januari lalu melebihi 140 kes dan kadar jangkitan yang tinggi dalam komuniti.
“Seremban dan Port Dickson yang diumumkan PKP turut tertakluk di bawah pelaksanaan PKP di seluruh Negeri Sembilan,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 2,287 kes positif direkodkan di Pahang, sehingga semalam.
Katanya, KKM mengesahkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan di negeri itu adalah sebanyak 626 kes dan berpotensi untuk meningkat akibat daripada ujian saringan daripada kontak rapat.
“Bagi Terengganu sehingga semalam, secara kumulatif sebanyak 875 kes positif direkodkan Bagaimanapun, KMM mengesahkan di negeri ini mula merekodkan kes penularan tempatan yang tinggi.
“Sejumlah 403 kes dilaporkan dalam masa 14 hari dari 42 mukim, di mana satu mukim menjadi Zon Merah, dua mukim (Zon Jingga) dan 39 mukim (Zon Kuning),” katanya.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 114 kes positif direkodkan di Perlis, sehingga semalam.
“Bagaimanapun, KKM mengesahkan terdapat peningkatan jangkitan dalam komuniti secara bertaburan dan daerah Kangar menjadi Zon Merah dengan 51 kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini,” katanya.
Mengulas perkembangan sama, Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) PKP sama seperti diumumkan sebelum ini.
“Antaranya semua penduduk dalam kawasan PKP tidak dibenarkan keluar dari kediaman atau tempat tinggal masing-masing kecuali dua wakil isi rumah untuk mendapatkan barangan keperluan.
“Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan atau perubatan.
“Pergerakan dalam, keluar dan masuk kawasan PKP bagi kes kecemasan seperti kematian dibenarkan selepas mendapatkan kebenaran daripada polis,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari.
Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala di Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada 16 Januari mengisytiharkan PKPB dilaksanakan di semua bahagian di negeri itu.
Pada 16 Januari lalu, PKP dilaksanakan di Kelantan hingga 26 Januari ini.
Artikel ini di ambil dari sumber Berita Harian bertarikh 19 Januari 2021
Pautan : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/777898/pkp-di-6-negeri-mulai-jumaat